Matyo & Zainal Abidin Senada Tentang Impak Marcos Guilherme
MakanBola
Johor Southern Tigers

Impak positif Marcos Guilherme terhadap kempen Johor Darul Ta’zim (JDT) dipersetujui Norshahrul Idlan Talaha dan Datuk Zainal Abidin Hassan.

Norshahrul yang mesra disapa Matyo melihat bekas pemain V. Varen Nagasaki itu membuktikan ketajamannya di depan gol terutama di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Ini jelas memperlihatkan Guilherme pantas membentuk keserasaian bersama pemain JDT meskipun hanya menyertai pasukan itu pada Januari lalu.

“Prestasi Guilherme di JDT sejak beliau datang boleh nampaklah peningkatan yang begitu mendadak. Bukan mudah apabila seseorang penyerang, sebuah pasukan bagi peluang untuk bermain dan ingin membuktikan (keupayaannya) bukan mudah.

“Tapi Guilherme melakukan apa yang JDT mahukan dan hasilnya terbukti dengan jaringan yang ketika menentang Sanfrecce.

“Dan jaringan beliau amat penting kepada pelawanan malam ini dan terus layak pada pusingan 16 terbaik,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Pandangan bekas penyerang kebangsaan itu turut dipersetujui Zainal Abidin. Legenda bola sepak negara itu melihat kebanyakan gol Guilherme turut dibantu dengan pertukaran pemain yang direncana jurulatih JDT, Xisco Munoz.

“Jika ingin beri tekanan balas, bagi saya kalau sudah bermain 60 minit, mungkin keletihan itu ada. Masuk pemain baru dan teruskan kaedah yang sama, di sini (nampak) kesannya.

“(Langkah itu membantu pemain) memenangi bola dan memenangi pelawanan daripada satu tindakan yang baik daripada pasukan JDT.

“Dua pelawanan berturut-turut, jaringan yang dihasilkan oleh JDT datang daripada tekanan balas itu sendiri. Minggu lepas juga, gol yang sama daripada JDT,” ujarnya.

Sejak menyertai JDT pada Januari lalu, Guilherme sudah menjaringkan enam gol daripada lapan penampilan. Ini termasuk dua gol dalam saingan ACLE.