Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim berkongsi video latihan bersama pemain badminton Arab Saudi.
Video latihan itu menunjukkan permainan rali antara beliau dan pemain tersebut. Rali berlangsung agak lama dengan setiap pukulan Hafiz berjaya dibalas pemain berkenaan.
Beliau kemudiannya memberi pandangan tentang latihan tersebut. “Masa muda-muda dulu, kalau kena rali pun pancit. Apa lagi sekarang ini, separuh gelanggang pun sudah lunyai,” katanya di TikTok.
Seorang pengguna TikTok kemudiannya mencadangkan Hafiz menggunakan kaedah latihan sama yang digunakan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek.
Bekas juara All England itu kemudiannya berseloroh menerusi jawapan ini, “(Pemain pun) mahu muntah hijau.”
Hafiz kini berpangkalan di Arab Saudi sebagai ketua jurulatih berprestasi tinggi skuad kebangsaan negara itu.
Beliau juga membantu Persekutuan Badminton Arab Saudi (SBF) merangka program bersesuaian untuk memacu pembangunan bakat pemain dan sukan itu di negara berkenaan.