Media Azerbaijan Kaitkan Dion Cools ‘Kembali’ Ke Saingan Liga Juara-juara UEFA
MakanBola
Reuters / Jason Cairnduff

Masa depan kapten skuad kebangsaan Malaysia, Dion Cools, kini menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa selepas muncul laporan baharu dari laman media Azerbaijan, Gununsesi yang mengaitkan pertahanan serbaboleh itu dengan gergasi Liga Perdana Azerbaijan, Qarabag FK.

Laporan yang mula dicetuskan oleh portal berita Azerbaijan ini mendakwa bahawa kelab yang berpangkalan di Aghdam itu sedang mempertimbangkan khidmat pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium berkenaan bagi memperkukuh benteng pertahanan mereka untuk saingan elit Eropah.

“Qarabag meneruskan usaha perpindahan mereka. Gununsesi.info melaporkan bahawa wakil Aghdam itu dilapor sedang mempertimbangkan pilihan Dion Cools untuk memperkuat barisan pertahanan mereka,” petik laporan portal berkenaan.

Qarabag FK merupakan kelab paling dominan di Azerbaijan yang kerap beraksi di pentas tertinggi Eropah, Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Pengalaman luas Cools di Eropah dilihat menjadi faktor utama yang menarik minat gergasi berkenaan untuk membawa semula pemain itu ke kancah bola sepak benua tersebut.

“Pemain bola sepak Malaysia berusia 30 tahun itu boleh beraksi di posisi pertahanan kanan dan pertahanan tengah. Sepanjang keriernya, Cools pernah beraksi untuk kelab seperti Brugge di Belgium, Midtjylland di Denmark, Jablonec di Republik Czech dan Buriram United di Thailand. Beliau kini beraksi untuk Cerezo Osaka di Jepun.”

Latar belakang Cools yang pernah beraksi dalam saingan peringkat kumpulan UCL bersama Club Brugge dan FC Midtjylland menjadikannya calon ideal buat Qarabag. Kelab Azerbaijan itu sebelum ini mencipta sejarah sebagai kelab pertama dari negara berkenaan layak ke pusingan utama UCL dan sentiasa dahagakan pemain berstatus antarabangsa yang sudah biasa dengan tekanan kejohanan elit UEFA.

Walau bagaimanapun, portal berkenaan menegaskan bahawa desas-desus ini masih di peringkat spekulasi awal dan belum mendapat pengesahan rasmi.

“Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai kemungkinan perpindahan pemain itu ke Qarabag buat masa ini. Maklumat baharu dijangka muncul dalam masa terdekat sama ada perpindahan ini akan menjadi kenyataan atau tidak,” jelas portal berkenaan.

Dion Cools yang dilabel portal berkenaan sebagai “salah seorang tonggak utama skuad kebangsaan Malaysia” sememangnya mempunyai profil idaman bagi kelab yang sentiasa menyasarkan kempen panjang di peringkat UCL mahupun Liga Europa. Keupayaannya beraksi di pelbagai posisi pertahanan memberi fleksibiliti taktikal yang bernilai tinggi.

Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, ia bakal menyaksikan pusingan U kerjaya Cools untuk kembali menggegar kancah Liga Juara-Juara UEFA bersama Qarabag FK.

Namun, segalanya bergantung kepada situasi kontrak semasa beliau bersama kelab Liga J1, Cerezo Osaka. Adakah kapten Harimau Malaya ini bakal kembali ke pentas tertinggi Eropah, atau ini sekadar khabar angin jendela perpindahan? Sama-sama kita nantikan.