3 bintang Harimau Malaya telah dikenal pasti oleh media di India bakal menjadi ancaman menjelang aksi persahabatan pada Isnin.
Skuad kebangsaan bimbingan Pau Marti Vicente terbang ke Hyderabad untuk berdepan India dengan momentum positif setelah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos pada Khamis lalu.
Tiga jaringan daripada Harith Haiqal, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero berjaya memastikan kemenangan buat skuad negara dalam perlawanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Dengan momentum tersebut, pasukan India yang kini berada di ranking ke-125 dunia bakal menjadi lawan seterusnya buat pasukan kebangsaan dalam usaha bagi memperbaiki ranking terkini.
Salah satu media tempatan India, MyKhel melihat 3 bintang skuad Harimau Malaya sebagai pemain yang perlu diawasi oleh anak didik Manolo Marquez menjelang aksi pada Isnin.
Antara pemain tersebut adalah Safawi Rasid yang dianggap cukup merbahaya dari segi kepantasan dan kemahiran tinggi terutama di bahagian sayap kiri mahupun kanan.
“Penyerang Safawi Rasid, dengan kepantasan dan kemahiran teknikalnya, merupakan ancaman utama di kawasan sayap,” ujar MyKhel.
Malah, ketua pasukan, Dion Cools juga dilihat berupaya bagi membawa kestabilan di benteng pertahanan dan miliki ciri-ciri untuk mengatur arahan buat rakan-sepasukan dari belakang
“Secara pertahanan, Dion Cools membawa kestabilan dan kepimpinan,” tambah laman media tempatan tersebut.
Selain itu, kelebihan refleks pantas yang dimiliki oleh penjaga gawang utama negara, Ahmad Syihan Hazmi dinilai sebagai satu kelebihan besar buat Malaysia.
“Penjaga gol Syihan Hazmi, dengan refleks pantasnya bakal menjadi aset penting dalam situasi jarak dekat,” tulis Mykhel yang menganalisa kekuatan pasukan Malaysia.