Advertisements
Dion Cools: Saya Harap Dapat Jaringkan Gol Lagi Lawan India
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Kapten pasukan Harimau Malaya, Dion Cools melaungkan keinginan untuk membolosi gawang gol India buat kali kedua menjelang aksi persahabatan esok hari.

Malaysia bakal turun menentang pasukan tuan rumah India dalam aksi persahabatan di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada pukul 10 malam waktu tempatan.

Sebelum ini Malaysia berjaya menewaskan India dengan jaringan 4-2 dalam aksi Pestabola Merdeka 2023 tahun lalu.

Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong antara pemain yang mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Dion Cools bertekad mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dan mahu menjaringkan gol untuk terus meningkatkan motivasi diri dan juga pasukan.

“Sudah tentu saya sentiasa gembira apabila dapat menjaringkan gol untuk negara saya. Ia akan menjadi motivasi tambahan buat saya untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

“Bukan hanya melawan India saja saya mahu jaringkan gol namun saya tetap berharap dapat menyumbang jaringan esok.

“Sebagai pemain bola sepak sudah tentu anda mahu bermain dihadapan ribuan penyokong tidak kira anda adalah tuan rumah ataupun pelawat.

“Ini dapat menyuntik motivasi untuk bermain dengan lebih bersungguh-sungguh. Ini bagus untuk bola sepak.” Ujar Cools dalam sidang media pra perlawanan antara Malaysia menentang India.

Malaysia bakal turun tanpa tiga tonggak hebat seperti Arif Aiman, Matthew Davies dan juga Feroz Baharudin yang telah dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).