Media yang berpangkalan di Madrid telah melaporkan berita perpindahan Jese Rodriguez ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain berusia 31 tahun itu bergelar ejen bebas sejak awal musim 2024 selepas tidak lagi bersama kelab Brazil, Coritiba FC.
Bekas bintang Real Madrid pada tahun 2013-2016 itu dilaporkan menjadi tonggak terbaru yang bakal memperkuat Harimau Selatan bagi musim 2024/25.
Media terkemuka Eropah, Marca melaporkan bahawa Jese bakal menjadi import terbaru JDT yang kini beraksi cemerlang dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE).
Beliau juga pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah seperti PSG, Sampdoria dan Las Palmas dan bakal menjadi tonggak penting buat JDT.
Pasukan kendalian Hector Bidoglio kini diperkuat dengan beberapa muka baharu seperti Iker Undabarrena, Jorge Obregon, Enzo Lombardo dan beberapa pemain lain.
Media Madrid Universal yang memiliki hampir 300,000 pengikut di laman X turut berkongsi perkembangan bekas pemain pasukan kesayangan mereka yang bakal ke Malaysia.
Setakat ini, berita perpindahan Jese ke JDT masih belum disahkan sama ada pada peringkat kelab mahupun pemain itu sendiri.