Seorang wartawan Vietnam menyifatkan langkah Malaysia memanggil pemain warisan untuk beraksi di peringkat antarabangsa patut dicontohi negara itu.
Pandangan itu dibuat wartawan Vietnam News, Anh Duc selepas melihat Pahlawan Bintang Emas dibelasah Harimau Malaya 4-0 pada 10 Jun lalu.
Susulan kekalahan itu, ramai penyokong Vietnam merasakan mereka tewas kerana berdepan sebuah pasukan dari Amerika Selatan dan bukannya Malaysia.
Anh Duc merasakan pandangan tersebut sebagai tidak tepat. Ini kerana pemain-pemain warisan seperti Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
Ini menjadikan mereka layak beraksi mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa terutama saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Anh Duc turut memuji tindakan Malaysia menambah rangkaian peninjau bakat mereka bagi mengenal pasti pemain baharu untuk diserap ke skuad kebangsaan.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha meninjau dan merekrut pemain-pemain warisan dari seluruh dunia dan menambah lagi rangkaian tersebut sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia seterusnya,” katanya.
Atas sebab itu, Anh Duc menggesa Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) bersikap lebih terbuka terhadap hal ini. Ini kerana akan memberi kebaikan jangka panjang buat Vietnam.
Anh Duc turut mengingatkan perkara sama pernah dinyatakan bekas jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Philippe Troussier sekiranya Vietnam mahu ke Piala Dunia.
“Bekas jurulatih kebangsaan, Philippe Troussier yang dianggap figura tidak popular dalam bola sepak Vietnam, pernah mengatakan skuad kebangsaan memerlukan lebih ramai pemain Vietnam dari luar negara seperti Vinh.
“Jika tidak, impian layak ke Piala Dunia dianggap impian yang mustahil walaupun Pep Guardiola atau Jose Mourinho yang mengemudi pasukan,” ujarnya.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan F dengan enam mata. Kedua-dua pasukan dijangka bertemu buat kali kedua di Vietnam pada Mac 2026.