Keputusan seri tanpa jaringan antara Vietnam dan Singapura dalam aksi Kumpulan A ASEAN Hyundai Cup 2026 mencetuskan rasa tidak puas hati media Vietnam, yang mendakwa pengadil telah melakukan kesilapan besar sehingga menjejaskan peluang pasukan tuan rumah meraih tiga mata.
Menurut laporan TheThao247, insiden paling mencetuskan kontroversi berlaku pada babak pertama apabila percubaan penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son, terkena tangan pemain Singapura yang memakai jersi nombor 14 iaitu Hariss Harun di luar kotak penalti. Rakaman ulang tayang didakwa menunjukkan bola jelas mengenai tangan bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
“Xuan Son melepaskan rembatan dari luar kotak penalti ketika Vietnam sedang mengasak pada babak pertama. Bola itu kemudian terkena tangan pemain Singapura yang memakai jersi nombor 14. Rakaman ulang tayang gerak perlahan jelas menunjukkan bola mengenai tangan pemain tersebut, manakala pengadil berada berhampiran dengan kejadian itu dengan penglihatan yang lebih jelas.
“Pemain-pemain Vietnam segera membantah keputusan itu, namun pengadil tetap meneruskan permainan. Sekiranya kesalahan itu dikira, Vietnam sepatutnya diberikan sepakan percuma di luar kotak penalti, iaitu pada jarak yang cukup berbahaya dan sesuai untuk Nguyen Quang Hai melakukan percubaan menggunakan kaki kirinya,” luah media Vietnam, TheThao247.
Bagaimanapun, insiden itu berlaku di luar kawasan penalti menyebabkan Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak boleh campur tangan. Mengikut protokol semasa, VAR tidak dibenarkan menyemak kebanyakan keputusan berkaitan sepakan percuma di luar kotak penalti, sekali gus menjadikan keputusan asal pengadil sebagai muktamad.
Sepanjang perlawanan, Vietnam menguasai sebahagian besar penguasaan bola dan lebih banyak mengancam kubu Singapura yang tampil dengan corak permainan lebih bertahan. Namun, anak buah Kim Sang-sik tetap gagal mencari gol walaupun mencipta beberapa peluang berkualiti.
Walaupun tiada jaminan Vietnam mampu menjaringkan gol daripada situasi itu, media negara berkenaan tetap berpendapat keputusan pengadil telah menafikan mereka peluang terbaik untuk memecah kebuntuan sekali gus memenangi perlawanan menentang Singapura tempoh hari.