Melaka Pinjam Penjaga Gol Selangor, Sam Somerville
MakanBola
Selangor FC

Penjaga gol Selangor FC, Sam Somerville sah dipinjamkan ke Melaka FC sehingga akhir musim ini.

Pengumuman ini dibuat oleh pihak pengurusan Selangor FC menerusi sebuah kenyataan rasmi pada Khamis mengenai penghijrahan keluar Samuel Somerville ke pasukan Melaka secara pinjaman.

”Penjaga gol, Samuel Somerville kini secara rasmi dipinjamkan ke Melaka FC bagi baki musim 2025/26,” umum Selangor FC.

Untuk rekod, Sam Somerville cuma membuat 2 penampilan bersama Selangor musim ini ketika aksi Piala FA menentang Malaysian University dan bertemu PDRM dalam saingan Liga Super.

Persaingan yang sengit di posisi penjaga gol Selangor dilihat menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan Samuel Somerville untuk berkelana ke Melaka ketika jendela perpindahan kali ini.

Melaka bakal menjadi pasukan ke-4 Sam Somerville di Liga Malaysia selepas pernah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Penang sebelum sertai Selangor pada penghujung tahun 2021.