Advertising
Joe Hart Terpegun Lihat Aksi Samuel Somerville
MakanBola
MCFC/SFC

Bekas penjaga gol England, Joe Hart kagum dengan kecekapan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville mengawal gawangnya daripada dibolosi.

Hart berpandangan sedemikian selepas melihat video lima aksi penjaga gol Liga Super untuk musim 2024/25 untuk program Nadi Weekend.

Ad

Selain Somerville, video tersebut turut mengandungi aksi penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi Mohamed, Sikh Izhan Nazrel (Penang FC), Wan Azraei Wan Teh (Kuching City FC) dan Mohd Fikri Che Soh (Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Ad

Hart, 37, menyifatkan kecekapan Somerville menepis dua percubaan berturut-turut pemain KL City FC sebagai sesuatu yang hebat. Malah, beliau tidak teragak-agak memberi markah lima mata terhadap Somerville atas apa yang dilakukannya.

“(Persembahan Somerville) itu lima markah. Saya amat sukakannya, ia satu aksi menyelamat yang bagus,” katanya,

Ad

Apabila ditanya mengapa aksi Somerville sebagai aksi penjaga gol terbaik pilihannya, Hart memaklumkan ia disebabkan tindakan pantas penjaga gol berusia 30 tahun itu.

Ad

“Jadi, apabila bola masuk ke dalam kotak penalti, pemain lawan cuba menanduk ke bahagian gol yang lebih dekat,” ujarnya.

Ad

“Penjaga gol akan mengagak pergerakannya dan sudah tentu akan cuba mendapatkan bola. Kemudian, bila beliau terduduk atas padang, beliau menepis bola itu keluar. Saya amat sukakan (tindakannya).”

Kecekapan Somerville tidak dapat menghalang KL City daripada meraih kemenangan 1-0 pada Julai 2024.

Selain Somerville, Hart turut kagum dengan kecekapan Wan Azraie mengawal gawang Kuching City. Meskipun kini berusia 38 tahun, itu bukan halangan buat beliau menunjukkan prestasi baik dalam mengawal gawang pasukan itu.

Hart kini berada di Malaysia untuk menjadi panel liputan siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Astro Supersports.

Selain Manchester City, beliau juga pernah beraksi untuk Glasgow Celtic, Burnley, Shrewsbury, Birmingham City, Torino, West Ham United, Tottenham Hotspur dan Blackpool.

Hart pernah merasai nikmat bergelar juara EPL, The Emirates FA Cup, Carabao Cup dan Scottish Premiership. Beliau juga pernah meraih 75 penampilan bersama The Three Lions.