Melaka United yang dikhabarkan akan berbelanja besar musim hadapan telah memulakan langkah untuk menandatangani pemain baru sebelum musim baru Liga Malaysia bermula pada Februari tahun hadapan.
Dua pemain JDT yang merupakan bekas pemain kebangsaan iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik dilaporkan bakal menyarung jersi Melaka United musim hadapan.
Perpindahan dua pemain ini adalah secara pinjaman dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). Fadhli Shas merupakan pemain yang beraksi di posisi pertahanan tengah manakala Syazwan Andik merupakan pemain yang beraksi di posisi pertahanan kiri.
Untuk musim 2021, kedua-dua pemain ini banyak menghabiskan waktu bermain bersama JDT 2 dalam saingan Liga Perdana dan Fadhli Shas dilantik sebagai kapten untuk pasukan JDT 2.
Berita perpindahan dua pemain ini ke Melaka United yang dikongsi wartawan Astro Arena, Fina Nasrom ternyata menguatkan lagi desas-desus yang mengatakan Melaka United bakal menggegar musim hadapan. Apatah lagi dengan pemenang kasut emas Liga Super 2021, Ifedayo Olesegun dikhabarkan bakal beraksi bersama mereka.