“Mereka Mahu Argentina Terus Kekal” – Jurulatih Mesir
MakanBola
ENT/SA

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan mendakwa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mahu Argentina kekal bersaing dalam Piala Dunia 2026.

Dakwaan itu dibuat Hossam selepas perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia antara kedua-dua pasukan itu pada Rabu.

Legenda Mesir itu mendakwa beberapa keputusan yang dibuat pengadil Perancis, Francois Letexier tidak boleh diterima. Ini termasuk dakwaan Mesir sepatutnya mendapat penalti apabila Mohamed Salah dikasari pemain Argentina.

“Semuanya tentang duit. Mereka mahu Messi (dan Argentina) kekal dalam kejohanan ini,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.

“Dalam bola sepak, banyak perkara berlaku di luar padang kerana kepentingan. Apa yang berlaku tidak adil (kepada pasukan). Mesir berhak layak. Kami pasukan yang lebih baik.”

Hossam mendakwa disebabkan oleh ketidakadilan yang menimpa anak buahnya, beliau tidak akan menonton perlawanan Piala Dunia selepas ini.

“Mengapa tiada keadilan dalam sukan? Saya tidak mahu cuba menggambarkannya dengan perkataan yang indah. Kami mendapat layanan tidak adil hari ini. Kami telah mengalami ketidakadilan.

“Ini cara saya sendiri untuk berdiri dan bersuara. Saya tidak akan menonton perlawanan lain dalam kejohanan ini.” tambahnya.

Argentina akan menentang Switzerland di peringkat suku akhir. La Albiceleste bangkit dengan meraih kemenangan 3-2 ke atas Mesir untuk menempah tiket peringkat berkenaan.