Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski, memberikan gambaran awal mengenai jangkaan kemasukan pemain-pemain naturalisasi baharu ke dalam skuad Malaysia.
Perkembangan ini susulan dua pemain berkenaan telah melengkapkan tempoh lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia sejak musim 2021, sekali gus memenuhi syarat kelayakan untuk dinaturalisasikan.
Antara nama yang disebut ialah penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, serta pertahanan kental Kuala Lumpur City (KL City), Giancarlo Gallifuoco.
Bergson da Silva yang tiba di Johor pada 11 Mac 2021 telah mencatatkan prestasi luar biasa dengan 181 gol dan 32 bantuan jaringan dalam 180 penampilan bersama skuad Harimau Selatan. Malah, beliau turut memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super apabila menjaringkan gol ke-107 pada September lalu, mengatasi rekod legenda negara, Indra Putra yang sebelum ini mengumpul 106 gol.
Pencapaian cemerlang ini jelas membuktikan bahawa Bergson berada pada tahap yang layak untuk menyarung jersi kebangsaan Malaysia dalam masa terdekat.
Sementara itu, Giancarlo Gallifuoco pula tiba di ibu kota pada 16 Februari 2021 dan kini memasuki musim kelima bersama KL City. Pemain kelahiran Australia itu terus menjadi tonggak utama pasukan, sentiasa mempamerkan komitmen tinggi dalam memastikan The City Boys kekal sebagai pencabar dalam setiap kejuaraan.
Perlawanan menentang Melaka di Stadium Cheras pada 7 Mac 2026 bukan sekadar aksi liga biasa, sebaliknya menjadi detik bersejarah apabila bekas pemain Tottenham Hotspur itu mencatatkan penampilan ke-100 bersama kelab ibu kota.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek paling menyerlah untuk memperkukuh barisan pertahanan Harimau Malaya menerusi proses naturalisasi.
Menurut Peter Cklamovski, menjelang kem latihan seterusnya pada Jun, perkembangan positif ditunjukkan pemain. Kedua-duanya bersemangat tinggi untuk mewakili negara dan bersedia memberi yang terbaik.
“Saya telah bercakap dengan kedua-dua pemain itu dan mereka menunjukkan keinginan yang kuat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, serta melakukan sesuatu yang istimewa untuk negara yang telah banyak memberi kepada mereka.”
“Dari sudut positif, ini memberi sesuatu untuk dinantikan kerana mereka semua bersedia untuk kem latihan seterusnya,” kata Peter Cklamovski dalam satu hantaran di laman media X milik Zulhelmi Zainal Azam.
Harimau Malaya masih berbaki satu perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini apabila bakal terbang ke Nam Dinh untuk turun menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.