Tuan rumah Piala Dunia 2026, Mexico menunjukkan mereka pasukan yang patut digeruni pihak lawan selepas layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Ini kerana berdasarkan statistik semasa, anak Javier Aguirre bukan saja mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam Piala Dunia setakat ini.
Malah, pasukan yang diberi jolokan El Tri itu juga masih belum dibolosi selepas empat perlawanan. Ini termasuk kemenangan 2-0 ke atas Ecuador dalam aksi pusingan 32 pasukan terbaik.
Lebih menarik, mereka juga setaraf dengan Argentina dan Perancis menerusi rekod kemenangan 100% di peringkat kumpulan.
Penyerang Al-Qadsiah, Julian Quinones terus membuktikan sentuhannya sebagai peledak berbisa dengan tiga gol. Beliau diekori penyerang Wolves, Raul Jimenez yang menyumbat dua gol.
Penjaga gol Guadalajara, Raul Rangel terus membuktikan dirinya boleh diharap untuk mengawal gawang Mexico. Ini kerana beliau memastikan gawang tidak dibolosi dalam empat perlawanan.
Jika Rangel tidak beraksi sekalipun, Aguirre masih mempunyai pilihan memanggil penjaga gol veteran, Guillermo Ochoa dan penjaga gol Santos Laguna, Carlos Acevedo sebagai pengganti.
Justeru, pemenang antara aksi England dan Republik Demokratik Congo (DR Congo) perlu menampilkan aksi terbaik bila berdepan Mexico pada 5 Julai jika ingin merebut tiket suku akhir.