MFL Tarik Balik Sekatan Perpindahan Kelantan TRW
MakanBola
The Real Warriors

Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) boleh menghela nafas lega kerana sekatan perpindahan yang dikenakan MFL telah ditarik balik.

Sebelum ini, penolong jurulatih pasukan itu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberi bayangan ada berita baik menanti Kelantan TRW.

Beliau memaklumkan berita tersebut akan membantu pasukan itu menghadapi baki musim 2025/26 tanpa sebarang isu.

Kini, MFL memaklumkan sekatan perpindahan yang dikenakan badan pengelola liga itu, FAM dan FIFA yang dihadapi Kelantan TRW telah ditarik balik.

Ini kerana FAM telah mengesahkan pasukan Pantai Timur itu telah menyelesaikan semua kes tunggakan gaji yang dilaporkan ke badan induk itu dan FIFA.

PFAM turut memaklumkan kepada MFL bahawa Kelantan TRW telah mencapai penyelesaian dengan 23 pemain pasukan itu musim 2024/25 secara rasmi.

Ini dibuktikan menerusi penyerahan perjanjian dokumen penyelesaian yang dimeterai kedua-dua pihak kepada PFAM.

Berita ini dijangka memberi tonik kepada Kelantan TRW untuk mendaftarkan pemain baharu sebelum tetingkap perpindahan kedua Liga Super ditutup pada tengah malam ini.

Satu nama yang dilaporkan akan menyertai pasukan Pantai Timur itu ialah penyerang Perancis, Enzo Celestine.