Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa jadual Liga Malaysia akan kekal mengikut perancangan asal bersama-sama dengan jaminan keselamatan daripada pihak polis.
Tiga kes besar yang melibatkan tiga pemain bola sepak Malaysia baru-baru ini telah menggemparkan arena bola sepak tempatan sekaligus menambah kerisauan dalam kalangan penyokong bola sepak.
MFL pada hari ini telah mengumumkan bahawa perjalanan Liga Malaysia musim 2024/2025 kekal seperti biasa berserta dengan tambahan aspek keselamatan dalam sebuah kenyataan rasmi menerusi laman media sosial.
“Malaysian Football League (MFL) ingin menyatakan rasa simpati dan kesal di atas insiden yang menimpa tiga pemain Liga Malaysia Akhyar Rashid (Terengganu FC), Faisal Halim (Selangor FC) dan Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim).
“Jelas insiden berasingan ini menggemparkan negara khususnya penyokong bola sepak tempatan yang kini bersatu menyatakan sokongan dan mendoakan agar pemain terlibat dalam keadaan baik.
“MFL mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana pemain dan berharap kes ini dapat disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa bagi tindakan lanjut. MFL tidak pernah berkompromi dalam memastikan keselamatan pemain serta penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia menerusi kerjasama pasukan dan pihak berkuasa tempatan.
“Justeru pihak MFL telah mengadakan mesyuarat bersama semua ketua pegawai keselamatan kelab Liga Malaysia hari ini bagi memastikan koordinasi keselamatan bagi setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini dipertingkatkan.
“Selain itu, jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini (10 Mei 2024) telah diberikan oleh Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan hari ini turut menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan.
“Justeru dengan persiapan keselamatan yang dilakukan oleh pihak Polis, MFL membuat keputusan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu ini akan jalankan mengikut jadual termasuk Perlawanan Sumbangsih.
“Dengan jaminan keselamatan oleh pihak Polis, MFL terpaksa menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan Perlawanan Sumbangsih itu atas faktor kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan.” umum MFL.