Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac mengakui puas melihat anak buahnya meraih tiga mata penuh.
KL City berentap dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk aksi pembukaan minggu ke-13 liga pada 18 Oktober lalu.
Meskipun ketinggalan menerusi gol Washington Brandao, The City Boys meraih kemenangan 3-1 pada akhir perlawanan. Dua gol kapten, Paulo Josue dan Nicholas Swirad memastikan penyokong pulang ceria.
Kuljanac melihat kemenangan ini bukan saja merangsang moral KL City untuk lebih maju ke hadapan. Malah, ini juga peluang buat pasukan itu untuk terus menghampiri kelompok lima teratas liga.
“Sudah tentu saya jangkakan kita mendapat kemenangan selepas berehat lama. Dalam aksi terakhir, kita hilang momentum (dan) itu bukan sesuatu yang bagus dari segi penyudah untuk kita.
“Saya beritahu mereka ini (aksi menentang Kelantan DN) merupakan aksi yang penting. Sekarang, kita mendaki kedudukan lebih tinggi dalam liga. Saya fikir kita selayaknya berada di sana. Tanpa keraguan, enam mata bantu kita berada pada kedudukan lebih tinggi dalam liga.
“Ini pasukan yang bagus, saya sekali lagi bangga dengan mereka dan tahniah kepada mereka sekali lagi,” katanya selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan KL City kini berada di tangga keenam liga dengan 14 mata. Sementara Kelantan DN pula kekal di tangga ke-12 dengan enam mata.
Kejayaan ini bakal memberi keyakinan kepada The City Boys apabila mereka bertandang ke Kuching, Sarawak pada 26 Oktober ini. Tarikh tersebut menyaksikan mereka akan berentap dengan Kuching City FC.