Mohamed Ouahbi Enggan Dabik Dada, Sasar Kejutkan Perancis
MakanBola
Equipe de Maroc

Pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi enggan terlalu membanggakan pencapaian pasukannya meskipun berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 dan dijadualkan bertemu Perancis.

Maghribi melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan tuan rumah bersama, Kanada, 3-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik. Kemenangan itu hadir menerusi dua gol Azzedine Ounahi dan satu jaringan Soufiane Rahimi.

Dalam aksi suku akhir, Maghribi bakal berdepan cabaran getir menentang Perancis, juara dunia 2018 dan naib juara edisi 2022.

Pertemuan itu mengimbau kembali separuh akhir Piala Dunia FIFA 2022, apabila Maghribi tewas 0-2 kepada Perancis hasil jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani.

Ouahbi menegaskan bahawa walaupun Perancis merupakan pasukan pilihan, pasukannya tetap bertekad untuk menang dan mara ke separuh akhir.

“Perancis merupakan pasukan pilihan, namun kami akan melakukan segala yang termampu untuk menang esok dan layak ke separuh akhir.”

Beliau menolak tanggapan bahawa kejayaan mara sejauh ini sudah memadai, sebaliknya menegaskan sasaran utama ialah menjuarai Piala Dunia.

“Saya tidak suka dengan tanggapan bahawa ‘kami sudah berjaya sampai ke tahap ini dan apa-apa selepas ini hanyalah bonus’. Tidak, bonus sebenar ialah memenangi Piala Dunia. Begitulah cara kami melangkah sejauh ini dan kami akan melangkah lebih jauh lagi,” kata beliau ketika sidang media sebelum bertemu Perancis.

Maghribi akan menentang Perancis pada pagi Jumaat bagi memburu tiket ke peringkat separuh akhir. Sekiranya berjaya mara, The Atlas Lions bakal berdepan pemenang aksi suku akhir lain antara Sepanyol dan Belgium.