FIFA Tolak Rayuan Perancis Mentah-Mentah
MakanBola
Equipe de France

Hasrat Perancis untuk membatalkan kad kuning yang diterima pemain sayapnya, Michael Olise, tidak kesampaian selepas FIFA dilaporkan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).

Menurut laporan beIN Sports, FFF mengemukakan rayuan selepas mendakwa kad kuning yang diterima Michael Olise ketika perlawanam pusingan 16 terbaik menentang Paraguay tidak sepatutnya diberikan.

Pihak Perancis berhujah rakaman video menunjukkan Olise hanya menarik jersi pemain lawan dan tidak melakukan sentuhan pada bahagian muka seperti yang dipercayai pengadil ketika membuat keputusan.

Bagaimanapun, FIFA memutuskan untuk mengekalkan keputusan asal sekali gus menyebabkan kad kuning tersebut kekal dalam rekod disiplin pemain berusia 24 tahun itu.

Keputusan itu bermakna Michael Olise kini hanya dipisahkan satu lagi kad kuning daripada dikenakan penggantungan satu perlawanan di Piala Dunia 2026.

Sekiranya pemain Bayern Munich itu dilayangkan kad kuning ketika aksi suku akhir menentang Maghribi, beliau akan terlepas aksi separuh akhir sekiranya Perancis berjaya mara, sekali gus merencatkan perancangan Didier Deschamp.

Kes berkenaan turut mencuri perhatian selepas FIFA sebelum ini membatalkan penggantungan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, sekali gus mengundang perdebatan mengenai konsistensi badan induk bola sepak dunia itu dalam membuat keputusan disiplin.

Perancis dijadualkan berdepan Maghribi pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 dengan Didier Deschamps pastinya berharap Olise dapat mengelakkan sebarang kad kuning bagi memastikan khidmatnya kekal tersedia sekiranya Les Bleus meneruskan kemaraan.