Moussa Sidibe Kembali Sertai JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap Mali, Moussa Sidibe sah kembali menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perpindahan pemain sayap berusia 30 tahun itu diumumkan Harimau Selatan menerusi satu video yang disiarkan di platform Johor Southern Tigers.

“Moussa Sidibe kembali menyarung jersi merah biru!” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas.

Sebelum ini, bekas pemain sayap Cordoba itu beraksi untuk kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo. Sidibe beraksi bersama Persis selama dua musim.

Musim 2024/25 menyaksikan beliau membantu kelab itu kekal beraksi di Liga 1 Indonesia untuk musim 2025/26.

Sidibe turut menjadi penjaring terbanyak Persis dengan lapan gol. Selepas tamat musim 2024/25, beliau memilih meninggalkan kelab tersebut.

Ini bukan kali pertama Sidibe menyarung jersi Harimau Selatan. Anak jati Bamako, Mali itu menyertai pasukan gergasi selatan tanah air itu pada 2022.

Sidibe kemudiannya beraksi secara pinjaman untuk kelab Thailand, Ratchaburi pada 2023. Beliau kemudiannya meninggalkan Harimau Selatan dan menyertai Persis pada pertengahan tahun sama.

Sidibe menjadi pemain terbaru JDT selepas Ibrahim Manusi, Jon Irazabal, Hector Hevel, Jairo da Silva dan Antonio Glauder.

JDT turut dikaitkan dengan perpindahan pemain muda Real Mallorca, Miguel Angel Cuesta dan bekas pemain sayap Buriram United, Frank Castaneda.