Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dikaitkan dengan bekas pemain serangan Buriram United, Frank Castaneda.
Baru-baru ini, JDT menerusi suatu kenyataan mengumumkan perpisahan bersama 11 orang pemain termasuklah 2 tonggak berpengalaman, Safiq Rahim dan juga penjaga gol, Farizal Marlias.
Malah, salah seorang pemain yang turut dilepaskan oleh JDT adalah bekas penyerang PSG, Jese Rodriguez dan sekaligus meninggalkan satu tempat kosong di jentera serangan skuad Harimau Selatan.
Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan itu adalah penyerang berpengalaman iaitu Frank Castaneda yang pernah bermain di Amerika Selatan, Eropah dan juga Thailand.
Menerusi tinjauan, Frank Castaneda ketika ini bergelar ejen bebas setelah mengumumkan perpisahan bersama bekas kelab beliau, Atletico Bucaramanga menerusi kenyataan di Instagram.
”Sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kami para penyokong Leopard (peminat Atletico Bucaramanga),” tulis Castaneda di laman Instagram beliau.
“Perpisahan ini penuh dengan kegembiraan beserta momen indah yang sarat dengan perjuangan dan pengorbanan demi warna pasukan ini.”
Malah, lebih menguatkan khabar angin ini apabila pemerhati bola sepak Johor, Juan Budiman memuat naik satu hantaran di laman X berkenaan ciri pemain baharu JDT yang mengenai profil Castaneda.
Antara ciri yang diulang siar oleh Juan Budiman dari laman johor_futbol itu adalah pemain itu dari Colombia dan miliki pengalaman bermain di kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Untuk rekod, Castaneda pernah bermain di pentas UCL pada musim 2021-2022 ketika bersama FC Sheriff dan lebih manis lagi adalah beliau menjadi kapten semasa menewaskan Real Madrid 2-1.
Petanda seterusnya adalah apabila Frank Castaneda dilihat sudah pun mengikuti laman Instagram Official Johor serta Pengarah Sukan JDT, Kiko Insa sekaligus menguatkan ura-ura perpindahan ini.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang pengumuman rasmi dari pihak pengurusan JDT ketika ini berkait ura-ura membabitkan Frank Castaneda ini dan masih kekal menjadi khabar angin.