MPFL: JDT Jadikan ATM ‘Mangsa’ Lepas Geram
UltraSukan
JDT Futsal

Johor Darul Ta’zim (JDT) menebus kekecewaan tewas di tangan Selangor FC dengan membelasah ATM 9-0 dalam aksi terbaru Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Selepas tewas 6-3 dalam aksi pada 5 September lalu, anak buah Joao Almeida berharap dapat bangkit dalam aksi liga menentang ATM.

Ekmal Shahrin dan Norakmal Norizal masing-masing meledakkan gol awal buat JDT pada minit ketiga dan keempat. Bukhari Samsudin menjadikan kedudukan 3-0 tiga minit selepas itu.

Tonggak import Sepanyol, Andres Prieto meledakkan dua gol pada minit ke-11 dan 13 bagi memastikan JDT mendahului 5-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Prieto mencipta hatrik pada minit ke-23. ATM makin derita apabila Mahadir Harahap meledakkan gol ketujuh pada minit sama.

Radzwil Ahmad dan Ekmal memastikan kemenangan bergaya JDT dengan gol pada minit ke-35 dan 39. Keputusan 9-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Harimau Selatan kini mengumpul 34 mata, lapan mata di belakang pendahulu MPFL, Selangor. Selepas ini, JDT akan menentang Terengganu pada 12 September.