MPFL: Selangor Garang Kalahkan JDT
UltraSukan
MPFL

Selangor FC terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dengan meraih kemenangan besar 6-3 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

JDT berharap dapat menebus kekalahan di tangan The Red Giants di Shah Alam pada 14 Jun lalu. Selangor pula mahu mengekalkan rekod kemenangan 100% bila bertandang ke Pasir Gudang.

Bruno Taffy dan Andrezito menjadi sandaran gol JDT. Penjaring terbanyak liga musim ini, Marlon Oliveira menjadi senjata pilihan Selangor di bahagian serangan.

Gawang JDT yang dikawal Zainulzahin Sinuan bocor seawal minit ketujuh menerusi Oliveira. Tersentak, JDT cuba memperkemaskan permainan tetapi dibolosi tiga minit kemudian menerusi Evandro Borges.

JDT kemudiannya mengurangkan defisit gol menerusi Taffy lima minit selepas itu. Oliveira sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada tuan rumah dengan meledakkan gol ketiga Selangor pada minit ke-16.

Kapten pelawat, Khairul Effendy Mohd Bahrin memastikan Selangor memiliki kelebihan tiga gol sehingga rehat separuh masa dengan gol keempat pada minit ke-20.

Bersambung pada babak kedua, JDT cuba meningkatkan asakan untuk mengurangkan defisit gol antara kedua-dua pasukan.

Malangnya, Borges sekali lagi merobek gawang Zainulzahin pada minit ke-26. Farhan Khairul Anuar terus menambah derita tuan rumah dengan gol keenam.

JDT berjaya mengurangkan defisit gol menerusi Taffy dan Azri Rahman tetapi keputusan 6-3 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor kekal menerajui liga dengan 42 mata, 11 mata di hadapan JDT.

Selepas ini, JDT akan menentang ATM pada 6 September. Selangor pula akan menentang PFA Odin Sarawak pada hari yang sama.