Perancang tengah, Mukhairi Ajmal menunaikan permintaan istimewa penyokong cilik Selangor ketika aksi menentang Penang Sabtu lalu.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ itu, Mukhairi mencetak nama sebagai penjaring gol pertama Selangor seawal minit ketiga setelah menerima umpanan cantik dari Alvin Fortes.
Tiga lagi gol disumbangkan oleh Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Quentin Cheng melengkapkan kemenangan besar The Red Giants sementara jaringan saguhati Penang dijaringkan oleh Rafael Vitor.
Usai menjaringkan gol tersebut, Mukhairi lantas bersorak bersama rakan sepasukan sambil melakukan gaya dua tangan bersilang di dada dengan jari melakukan simbolik nombor dua.
Ketika ditanya apakah makna jaringan itu buatnya, pemain berusia 23 tahun itu mendedikasikan gol tersebut buat murid yang ditemuinya ketika berkunjung ke salah sebuah sekolah minggu lalu.
”Dua hari lepas, saya (ada) pergi ke sekolah rendah, ada 2 orang murid berkata (kepada saya), kalau jaringkan gol tolong raikan seperti ini,” katanya sambil mengulang gaya yang dilakukannya di padang.
“Alhamdulillah saya dapat tunaikan janji (kepada dua orang murid) tersebut,” ujarnya yang ditemui selepas perlawanan menentang Penang.
Kemenangan besar ini mengukuhkan tempat Selangor di tangga kedua liga dengan 12 mata, enam mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada di puncak setelah enam perlawanan.
Aksi liga selepas ini menyaksikan Mukhairi dan rakan sepasukan bakal bertandang ke Temerloh untuk berdepan Sri Pahang sementara Penang akan menerima kedatangan Kelantan DN.