Selangor kembali mencatatkan kemenangan setelah menumpaskan Penang dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Setelah mencatatkan 2 kekalahan berturut-turut di tangan KL City dan Terengganu minggu lalu, Selangor kembali ke Stadium MBPJ dengan misi untuk bangkit meraih tiga mata dalam saingan liga.
Penang pula yang berehat seminggu bagi memberi laluan kepada kempen Piala FA berhasrat bagi membawa pulang sekurang-kurang 1 mata dari Kelana Jaya untuk mendaki kedudukan liga.
Nidzam Jamil menggantikan tempat Sam Sommerville dengan Khairulazhan manakala Akmal Rizal menurunkan Aqil Irfanuddin untuk mengambil alih tempat Richmond Ankrah di benteng pertahanan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Mukhairi Ajmal yang tenang menyudahkan hantaran Alvin Fortes seawal minit ketiga.
Permainan kembali seimbang selepas itu dengan peluang terbaik buat Penang hadir pada minit ke-32, akan tetapi percubaan penyerang import, Rodrigo Dias sedikit tersasar dari pintu gol Selangor.
Separuh masa pertama tamat, Selangor 1-0 Penang.
Kembali dari bilik persalinan, Akmal Rizal melakukan satu pertukaran di jentera serangan dan perubahan itu jelas membawa kesan positif dengan beberapa siri gerakan dilancarkan Harimau Kumbang.
Pada minit ke-63, Penang dihadiahkan sepakan penalti setelah Nabil Latpi dijatuhkan oleh Safuwan Baharudin dan Rafael Vitor dengan tenang menyudahkan tendangan itu untuk mengikat kedudukan.
Gol penyamaan itu tidak bertahan lama setelah pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi melakukan semakan Video Bantuan Pengadil dan mendapati Ronnie Fernandez ditarik oleh pertahanan Penang.
Pemain tengah, Yohandry Orozco yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti tersebut mudah menewaskan Sikh Izhan bagi meletakkan Selangor kembali di hadapan pada minit ke-70.
Gol daripada Alvin Fortes dan Quentin Cheng pada lewat permainan menceriakan peminat-peminat Gergasi Merah sekaligus melengkapkan kemenangan ke atas Penang di laman sendiri.
Aksi di Stadium MBPJ berakhir dengan keputusan 4-1 memihak Selangor.
Perlawanan liga seterusnya menyaksikan Selangor bakal bertandang ke Temerloh untuk aksi berdepan Sri Pahang manakala Penang akan menerima kunjungan Kelantan DN.