Pengendali Selangor, Nidzam Jamil bercita-cita untuk membawa anak-anak buahnya ke satu tahap seperti JDT dan Terengganu setelah menewaskan Penang dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ itu, Gergasi Merah bangkit dari dua kekalahan lalu di tangan KL City dan Terengganu untuk menumbangkan Penang 4-1 di laman sendiri.
Empat gol menerusi Mukhairi Ajmal, Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Quentin Cheng memastikan Selangor kembali meraih tiga mata manakala gol saguhati Penang disumbang Rafael Vitor.
Menurut Nidzam, beliau gembira dan berpuas hati dengan kemenangan hari ini meskipun diberi kesukaran oleh anak-anak buah Akmal Rizal di sepanjang 90 minit permainan.
”Kita tentunya gembira dengan 3 mata pada hari ini, dan masalahnya yang dibawa oleh Penang bukan mudah, cuma akhirnya kita fikir bagaimana mahu keluar dari masalah (diberi oleh Penang) ini” katanya kepada media.
Tambahnya lagi, masih ada banyak perkara yang perlu ditambah baik oleh The Red Giants untuk berada setaraf pasukan-pasukan elit seperti JDT dan Terengganu yang juga impiannya.
”Kita rasa kita peluang untuk menambah baik pasukan. Sudah tentu kita mahu berada di tempat yang dikatakan elit seperti JDT dan Terengganu. Sudah tentu kita mahu di tempat itu, itu cita-cita kita.”
“Pada saat ini, kita cuba dapatkan keputusan, bermain dengan baik dan cuba untuk positif secara berterusan,” ujarnya yang ditemui pasca perlawanan berdepan Penang di Kelana Jaya.
Kemenangan ini meletakkan Selangor di tangga kedua Liga Super dengan 12 mata, enam mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang gah di puncak setelah enam perlawanan.
Aksi liga seterusnya menyaksikan The Red Giants bakal berdepan Sri Pahang di tempat lawan sementara Penang akan kembali ke Stadium Bandaraya untuk menerima kedatangan Kelantan DN.