“Mungkin Pegawai VAR Pergi Minum Kopi” – Jurulatih Ghana
MakanBola
Ghana Black Stars

Jurulatih Ghana, Carlos Queiroz mengakui kurang berpuas hati dengan mutu pengadilan perlawanan antara pasukan itu dan England dalam Kumpulan L pada Rabu.

Ini kerana pada hemat bekas jurulatih Iran itu, Ghana sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas bek tengah Aston Villa, Ezra Konsa dikesan membuat terjahan keras terhadap Prince Kwabena Adu.

Meskipun Konsa dilihat tidak mendapat bola semasa membuat terjahan, keputusan penalti tidak diberi. Situasi ini membuatkan Queiroz tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan perlawanan tersebut.

“Saya tidak pasti VAR masih berfungsi dalam Piala Dunia. Kita masih ada VAR? Ia berfungsi? Ini kerana mereka perlu beri penalti kepada Ghana.

“Dan VAR pergi minum kopi. Itu perkara biasa, saya pun nak minum kopi sekali-sekala. Tetapi itu penalti yang jelas (dan) kad merah (kepada Ezra Konsa),” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Queiroz turut memaklumkan beliau sengaja berseloroh berhubung isu tersebut kerana tidak mahu dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selain bekas jurulatih Real Madrid itu, legenda England, Wayne Rooney turut sependapat berhubung insiden berkenaan. Beliau juga melihat Konsa bernasib baik tidak dibuang padang atas terjahan tersebut.

“Saya fikir itu penalti. Konsa mengambil risiko yang besar. Kakinya berada di atas semasa beliau datang membuat terjahan dan terkena pemain dan bukan bola. Itu boleh saja menjadi penalti pada pandangan saya,” katanya.

Aksi tersebut menyaksikan England dan Ghana terikat tanpa jaringan. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan memiliki empat mata selepas dua perlawanan Kumpulan L.

Ghana berpeluang layak ke pusingan 32 pasukan terbaik dengan syarat mereka menewaskan Panama dalam aksi terakhir kumpulan.