Piala Dunia FIFA: ‘Tembok’ Ghana Buat England Hampa
MakanBola
Ghana Black Stars

Perlawanan Piala Dunia FIFA antara England dan Ghana berakhir dengan keputusan seri.

England membawa momentum positif setelah membelasah Croatia 4-2 pada minggu lalu, begitu juga dengan Ghana yang turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Panama semasa perlawanan pembukaan kumpulan L Piala Dunia FIFA.

Walau bagaimanapun, langkah cemerlang juara dunia 1966 tersebut berjaya disekat Ghana dalam perlawanan yang sememangnya didominasi oleh The Theee Lions dengan penguasaan bola dan deretan percubaan yang dinafikan wakil Afrika itu.

Kesebelasan utama England dibarisi nama-nama terkenal antaranya Harry Kane, Jude Bellingham dan Marc Guehi sementara barisan pemain Ghana diketuai bintang Manchester City, Antoine Semenyo serta peledak Leicester City, Jordan Ayew.

Seperti dijangka England jelas menguasai bola dengan kawalan di bahagian tengah yang menyukarkan Ghana bagi mengatur langkah, namun kekebalan benteng pertahanan The Black Stars mengakibatkan perlawanan kekal tanpa jaringan.

Peluang terbaik England hadir di penghujung permainan apabila tandukan Nico O’Reilly hanya singgah di palang gol sebelum rembatan susulan dari Harry Kane tinggi melambung, sekali gus menyelamatkan gawang pasukan Ghana.

Keputusan di Foxborough, USA berakhir tanpa jaringan dan membuatkan England serta Ghana berkongsi satu mata.

Perlawanan terakhir kumpulan L akan menyaksikan pertarungan antara England vs Panama pada 28 Jun ini sementara Ghana bakal menentang finalis Piala Dunia 2018, Croatia bagi menentukan tempat ke pusingan kalah mati.