Piala Dunia FIFA: England ‘Pening Kepala’ Sebelum Tewaskan Croatia
MakanBola
England

England melakar kemenangan pertama di peringkat kumpulan L Piala Dunia FIFA 2026 selepas menumpaskan Croatia.

Kemenangan 4-2 dilakar oleh England di Arlington ini tidak dicapai dengan mudah, melihat kepada cabaran hebat yang diberikan Croatia terhadap juara Piala Dunia 1966 ini, apabila sempat bangkit mengikat kedudukan sebanyak dua kali.

Fokus tertumpu ke arah kesebelasan utama England apabila Thomas Tuchel membuat keputusan untuk meletakkan Anthony Gordon dan Noni Madueke di bahagian sayap manakala Luka Modric kekal menjadi taruhan besar buat kem Croatia.

England memperoleh tendangan penalti di awal permainan apabila usaha Luka Modric untuk mengeluarkan bola dari kawasan merbahaya bertukar tragedi apabila sepakan beliau mengenai kaki Noni Madueke yang mahu mencuri bola.

Tugasan bagi menyempurnakan sepakan penalti tersebut disudahkan dengan baik oleh penyerang utama, Harry Kane pada minit ke-12 permainan setelah tendangan pertamanya sempat dinafikan oleh penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.

Jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Croatia untuk memburu gol dan hasilnya naib juara Piala Dunia 2018 itu berjaya menembusi gawang England selepas percubaan deras Martin Baturina gagal ditepis kemas oleh Jordan Pickford.

Pada minit ke-41, Harry Kane sekali lagi mencipta nama selaku penjaring gol apabila menanduk masuk sepakan sudut Declan Rice bagi meletakkan England kembali di depan 2-1 tatkala permainan semakin hampir menuju rehat.

Hasrat The Three Lions kembali ke bilik persalinan dengan kelebihan satu jaringan tidak kesampaian apabila Petar Musa tenang menolak masuk bola ke dalam gawang England sekali gus menyamakan kedudukan untuk kali kedua.

Dua jaringan di separuh masa kedua oleh Jude Bellingham dan Marcus Rashford sudah cukup buat menghadiahkan 3 mata kepada England sekali gus mengecewakan Croatia.

Pertarungan sengit 90 minit di Stadium AT&T berakhir dengan kemenangan 4-2 buat England.