Nafuzi Zain Bimbing Harimau Malaya Di ASEAN Hyundai Cup
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Malaysia B-23, Nafuzi Zain bakal mengemudi skuad Harimau Malaya pada kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.

Pengumuman ini dilakukan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang memberitahu bahawa Nafuzi Zain akan menggalas tugas bagi membawa Malaysia di kejohanan itu.

Sementara, Peter Cklamovski selaku ketua jurulatih Harimau Malaya akan kembali mengemudi skuad kebangsaan pada kejohanan FIFA ASEAN Cup yang berkemungkinan besar berjalan pada bulan September akan datang.

“Nafuzi Zain bakal membawa Malaysia di ASEAN Hyundai Cup (pada) Julai manakala national team akan turun di FIFA ASEAN Cup September ini,” kata Datuk Noor Azman Rahman ketika ditemui pada Ahad.

Nafuzi Zain yang merupakan jurulatih skuad Malaysia B-23 dijangka akan membawa gabungan pemain muda dan senior di ASEAN Hyundai Cup itu nanti dengan misi untuk membawa Harimau Malaya mara sejauh mungkin.

ASEAN Hyundai Cup bakal berlangsung pada penghujung Julai hadapan dengan skuad Harimau Malaya diundi bersama Thailand, Laos, Myanmar dan Filipina di dalam kumpulan B pada edisi kali ini.

Skuad kebangsaan akan memulakan kempen bertemu Myanmar di laman lawan pada 25 Julai hadapan sebelum melayani kunjungan Laos selang 3 hari kemudian dan menentang Thailand dan Filipina masing-masing pada awal Ogos.