Nafuzi Zain Jawab Ketiadaan Romel Morales
MakanBola
Terengganu FC

Sebab ketiadaan penyerang Harimau Malaya, Romel Morales dalam skuad Terengganu FC akhirnya terjawab.

Aksi pertama Liga Super antara Terengganu dan Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 22 Ogos lalu menyaksikan nama Morales tiada dalam senarai pasukan.

Hal ini mengundang kehairanan dalam kalangan penyokong Peteh. Ini kerana berdasarkan semakan gambar di laman media sosial rasmi Terengganu, Morales dilihat menjalani latihan bersama pasukan itu termasuk sehari sebelum perlawanan.

Apabila ditanya tentang ketiadaan bekas penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu, jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain memaklumkan Morales tidak disenaraikan kerana mengalami sedikit kecederaan.

Nafuzi mahu memastikan penyerang berdarah Colombia itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan terlebih dahulu sebelum boleh memanfaatkan khidmatnya.

“Morales ada sedikit kecederaan. Saya rasa kita pun terutama pasukan perubatan tak nak ambil risiko,” katanya selepas perlawanan.

“Kita pun nak persiapkan beliau untuk perlawanan seterusnya. Kita pun masih ada masih ada masa lagi, kita pun tak nak terburu-buru. Bila beliau (cergas) 100%, baru kita guna (khidmatnya).”

Terengganu membuka kempen Liga Super dengan meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Melaka FC. Gervane Kastaneer meledakkan dua gol buat tuan rumah.

Bekas pemain KL City, Victor Ruiz juga ceria apabila menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama pasukan Pantai Timur itu.