Bekas pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Victor Ruiz menjadi tonggak import terbaru menyertai Terengganu FC.
Perpindahan pemain tengah berusia 32 tahun itu diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu hantaran video di semua platform rasmi pasukan berkenaan.
“Terengganu Football Club (Terengganu FC) terus melengkapkan persiapan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 apabila mengesahkan kehadiran penyerang import kuota bebas dari Sepanyol, Victor Ruiz, yang telah menandatangani kontrak selama satu musim bersama pasukan.
“Penyertaan Victor membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila bakal menyahut cabaran bersama Terengganu FC di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
“Beraksi di posisi penyerang tengah, beliau menyatakan kesediaannya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan serta bersaing dalam membantu Terengganu FC mengharungi saingan musim ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selepas video tersebut disiarkan, Ruiz kemudiannya menyatakan rasa teruja membantu pasukan Pantai Timur itu. “Ayuh, Terengganu,” katanya di ruang komen Instagram.
Ruiz dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas tonggak import dari Brazil, Careca. Sepanjang bersama KL City FC pada musim lalu, beliau menjaringkan enam gol dan mencipta lapan bantuan gol dalam 28 penampilan.
Ruiz menyertai Romel Morales, Faiz Mazlan, Habib Haroon, Elvis Kamsoba, Haziq Kutty Abba, Danial Amier Norhisham dan Manuel Ott sebagai rekrut baharu Terengganu.