Jurulatih Malaysia B-19, Nafuzi Zain melihat kehadiran pemain kacukan Croatia, Luka Jordy Hodak mampu memberi nilai tambah untuk pasukan muda negara.
Nama Luka Hodak mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan apabila berada dalam senarai 26 pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejuaraan B-19 ASEAN di Medan, Indonesia bermula seawal Jun hadapan.
Pemilihan anak kepada bekas jurulatih KL City, Bojan Hodak itu dianggap cukup menarik oleh kerana Luka miliki kelayakan untuk menyarung jersi negara kerana dilahirkan di Damansara oleh ibunya yang merupakan warga tempatan.
Luka Hodak yang kini beraksi bersama skuad muda NK Trnje FC di Liga Croatia dinilai berdasarkan pemantauan rapi oleh Nafuzi Zain dan barisan kejurulatihan Malaysia B-19 dalam beberapa aksi yang dilalui sebelum ini.
“(Pemilihan Luka Hodak ini) berdasarkan scouting dan kita lihat dari segi data dan penglibatan beliau ketika bersama pasukan di Croatia,” ujar Nafuzi Zain ketika hari pertama kem latihan Malaysia B-19 di Bukit Jelutong.
Setelah dipantau, Nafuzi Zain melihat ada sesuatu yang mampu dilakukan Luka Hodak bagi membantu pasukan, namun segalanya bergantung kepada prestasinya sepanjang kem latihan kali ini.
”Kita memantau perkembangan beliau dan saya rasa pemain ini (Luka Hodak) ada sesuatu yang mampu membantu saya.”
“Kita memberikan peluang kepadanya untuk dinilai apa yang dipersembahkan di sepanjang kem kita, kerana di sini ada 26 pemain dan kita terpaksa menggugurkan 3 nama bagi kejohanan ini.”
Nafuzi Zain dan Malaysia B-19 bakal membuka tirai saingan kumpulan B menentang Singapura pada 2 Jun sebelum hadapi Brunei 3 hari kemudian dan menutup aksi dengan bertemu Thailand pada 8 Jun.