Advertising
Nafuzi Zain Pengendali Malaysia B-23 Baharu
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain sah menjadi jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) yang baharu.

Pelantikan jurulatih berusia 46 tahun itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan.

Ad

Pelantikan Nafuzi turut menandakan tamatnya era pengendali skuad Malaysia B-23 sebelumnya dari Sepanyol, Juan Torres Garrido. Garrido melatih pasukan itu dari 2023 hingga 2024.

Ad

“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan ini bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

“Kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa,” kata badan induk itu.

Ad

Nafuzi memiliki pengalaman mengendalikan pasukan bawah umur sepanjang kariernya sebagai jurulatih. Beliau pernah membantu Kelantan FC muncul juara Piala Presiden sebanyak tiga kali.

Ad

Dua daripadanya dicapai semasa beliau bergelar penolong jurulatih pasukan itu pada 2011 dan 2013. Kejayaan ketiga dicapai apabila Nafuzi dilantik sebagai pengendali pasukan Piala Presiden Kelantan pada 2015.

Ad

Selepas berhijrah menyertai skuad Piala Presiden T-Team FC (kini Terengganu FC II) pada 2016, beliau turut membantu pasukan itu muncul juara Piala Presiden.

Selain melatih Kedah, Nafuzi juga pernah membimbing Terengganu FC dari 2020 hingga 2022. Tempoh ini menyaksikan beliau membantu Peteh muncul naib juara Liga Super musim 2022 dan layak ke Piala AFC (kini Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Pencapaian tersebut turut menyebabkan beliau menerima anugerah Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022.

Pelantikan anak jati Kelantan itu merupakan sebahagian daripada revolusi penstrukturan semula pengurusan Harimau Malaya yang dinyatakan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Selain Nafuzi, FAM turut mengumumkan pelantikan jurulatih Australia, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.