Nama Arif Aiman Hanapi kembali menjadi sebutan di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyenaraikan nama pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk anugerah Bintang Masa Depan ACLE musim 2025/26.
Meskipun hanya dapat beraksi sebanyak empat perlawanan Liga Timur ACLE, Arif Aiman terus menjadi igauan ngeri pertahanan lawan.
Bantuan golnya membantu JDT menewaskan kelab gergasi China, Shanghai Shenhua 3-1 dalam aksi keempat Liga Timur ACLE pada 5 November lalu.
Arif Aiman dijangka berdepan cabaran hebat untuk anugerah ini. Selain pemain sayap Harimau Malaya itu, turut tersenarai ialah bintang muda Buriram United, Suphanat Mueanta dan dua pemain Shabab Al-Ahli, Mohammad Juma dan Hamad Al Meqbaali.
AFC turut menyenaraikan Sardorbek Bakhromov (PFC Nasaf), Ayoub Al Oui (Al-Gharafa), dua pemain Melbourne City, Max Caputo dan Marcus Younis.
Dua bintang muda Al-Ahli, Mohammed Abdulrahman dan Saleh Abu Al Shamat melengkapkan senarai calon anugerah sama.
Peminat bola sepak negara boleh mengundi nama Arif Aiman dengan melayari laman sesawang AFC. Undian akan berlangsung sehingga 16 Mei, jam 5.00 petang.