Negeri Sembilan FC mengumumkan 11 pemain tempatan tidak dikekalkan untuk menghadapi musim 2026/27.
Antara yang tidak dikekalkan ialah Harith Samsuri, Hadin Azman, Zahril Azri Zabri, Anwar Ibrahim, Hariz Kamarudin dan Azrin Afiq Rusmini.
Noor Aidil Zailani, Noor Adha Zailani, Zaim Iqbal Zulkarnain, S. Vimalnair dan Harish Thigarajah melengkapkan senarai 11 pemain yang tidak dikekalkan pengurusan Sang Rusa.
“Pihak kelab ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan pemain tempatan yang tidak akan bersama skuad Negeri Sembilan FC bagi menghadapi kempen musim baharu nanti.
“Terima kasih atas segala keringat, pengorbanan, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang menyarung jersi keramat. Setiap memori suka duka dan perjuangan demi lencana di dada akan sentiasa tersemat dalam lipatan sejarah kelab ini.
“Kami mendoakan kejayaan dan kecemerlangan berterusan buat anda semua di mana jua anda melangkah selepas ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Mereka menyertai lima tonggak import yang tidak dikekalkan Negeri Sembilan untuk kempen musim depan. Mereka ialah An Sang-su, Amirul Adli Azmi, Joseph Esso, Luis Enrique Nsue dan Oday Kharoub.
Perubahan ini dilihat sebahagian daripada usaha pengurusan Negeri Sembilan membentuk skuad lebih mantap untuk kempen musim 2026/27.
Pengurusan Sang Rusa juga mengambil langkah mengumumkan jurulatih Sepanyol, Daniel Gimenez sebagai jurulatih baharu pasukan itu.