Selepas tiga tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa, Neymar kembali menyarung jersi Brazil.
Sebelum ini, bekas penyerang Barcelona itu terpaksa menunggu lama untuk kembali bersama Selecao. Ini selepas beliau mengalami kecederaan serius ketika bersama Brazil pada 2023.
Kecederaan tersebut menyebabkan Neymar mengambil masa lama untuk kembali cergas sepenuhnya. Kini, penantian beliau untuk kembali menyarung jersi negara Amerika Selatan itu sudah berakhir.
Neymar masuk sebagai pemain gantian Brazil dalam aksi ketiga Kumpulan C Piala Dunia 2026 menentang Scotland. Beliau masuk pada minit ke-76 menggantikan bintang Manchester United, Matheus Cunha.
Kemasukan Neymar sekaligus mengesahkan kenyataan jurulatih Selecao, Carlo Ancelotti bahawa beliau akan kembali beraksi dalam kejohanan itu. Sebelum ini, Neymar bergelut dengan masalah kecederaan betis.
Sebaik beliau masuk ke padang, penyokong Brazil memberi sorakan kuat kepadanya di Stadium Hard Rock, Miami. Lebih menarik, penampilan ini menyaksikan Neymar beraksi dalam Piala Dunia buat kali keempat.
Brazil berharap kepulangan pemain berusia 34 tahun itu dapat menyuntik moral pasukan itu untuk memburu trofi Piala Dunia buat kali keenam.
Selecao mara ke pusingan 32 pasukan terbaik selaku juara Kumpulan C. Ini selepas mereka menewaskan Scotland 3-0 menerusi gol Cunha dan Vinicius Jr.