Aksi terakhir Kumpulan C menyaksikan pasukan Brazil berjaya menepati ramalan dengan menumpaskan pasukan Scotland dengan keputusan 3-0 di Stadium Miami, Amerika Syarikat. Pertembungan ini sememangnya penting bagi kedua-dua pasukan yang berpeluang merebut posisi juara Kumpulan C.
Sebelum perlawanan bermula, pasukan Brazil mendahului carta Kumpulan C dengan 4 mata manakala pasukan Scotland berpeluang menjadi juara kumpulan dengan syarat pasukan Brazil tewas dan pasukan Maghribi tewas.
Dengan Raphinha terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialaminya ketika menentang Haiti, Carlo Ancelotti mempertaruhkan pemain yang berusia 19 tahun, Rayan di posisi sayap kanan. Penantian Neymar untuk bermain di edisi Piala Dunia kali ini mungkin tercapai apabila beliau diletakkan di bangku simpanan berikutan beliau baru sahaja pulih dari kecederaan.
Ketua jurulatih pasukan Scotland, Steve Clark membuat beberapa pertukaran pemain berbanding kesebelasan utama sebelum ini dengan mempertaruhkan Kenny McLean dan Ben Gannon-Doak. Lawrence Shankland turut diturunkan menggantikan tempat Ché Adams.
Separuh masa pertama dimulakan dengan Brazil bermula garang. Seawal minit ke-7, Brazil mendahului Scotland melalui Vinícius Júnior yang mudah memperdaya penjaga gol Scotland, Angus Gunn. Gol tersebut berpunca dari bola yang hendak dihantar oleh Scott McKenna terkena kaki Rayan sebelum bola tersebut sampai di kaki Vinícius Júnior.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Vinícius Júnior sekali lagi muncul sebagai penjaring gol menerusi gol tandukan yang berpunca dari hantaran silang oleh Bruno Guimarães. Vinícius Júnior telah menjaringkan 4 gol setakat ini sekaligus sebaris dengan rakan sepasukan kelabnya, Kylian Mbappe. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan 2-0, Brazil mendahului.
Separuh masa kedua dimulakan dengan pasukan Scotland berharap mampu mengimbangi kelebihan dua gol Brazil. Namun, Matheus Cunha pula hadir dengan jaringan gol pada minit ke-60 seterusnya menambah duka skuad Scotland. Gol tersebut berpunca dari kelincahan Bruno Guimarães yang bijak memperdaya beberapa pemain Scotland termasuk juga penjaga gol Scotland sebelum menghantar bola kepada Cunha untuk disudahkan dengan mudah oleh penyerang Manchester United itu.
Setelah penantian begitu lama bagi peminat-peminat bola sepak Brazil, Neymar akhirnya dimasukkan pada minit ke-75 menggantikan penjaring gol, Matheus Cunha. Satu detik berharga buat Neymar yang mencuba segalanya untuk bermain di Piala Dunia FIFA 2026.
Perlawanan ini tamat dengan keputusan 3-0, Brazil menang ke atas Scotland. Kemenangan ini meletakkan Brazil selaku juara kumpulan C sekaligus menepati ramalan sebagai pasukan pilihan untuk layak ke pusingan kalah mati manakala nasib pasukan Scotland masih belum diketahui sehinggalah kesemua perlawanan terakhir pada peringkat kumpulan selesai.