Kem badminton Malaysia mendapat khabar positif apabila Ng Tze Yong bakal kembali ke gelanggang tidak lama lagi.
Perkara ini dinyatakan oleh pakar perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme yang bertanggungjawab merawat kecederaan Tze Yong.
Jasmiza melihat kecederaan belakang yang dialami pemain nombor 16 dunia itu merupakan kecederaan normal bagi mana-mana atlet berprestasi tinggi.
Beliau mengakui bukan mudah merawat atlet berprestasi tinggi sepertinya kerana atlet sebegini memiliki tempoh rehat atau rawatan yang singkat lebih-lebih lagi dalam kejohanan besar.
Jasmiza percaya dengan tempoh rawatan yang diterima Tze Yong, naib juara Arctic Open 2023 itu dapat kembali ke gelanggang dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
“Ya, saya boleh katakan ia agak biasa. Jadi, biasanya itulah nak merawat atlet berprestasi tinggi ini, tempoh mereka untuk berehat atau dapatkan rawatan itu agak singkat.
“Jadi, kita kena berlumba dengan masa di mana itu satu cabaran. Maksudnya, kita nak mengejar atlet untuk menyediakan dia pada keadaan terbaik untuk kejohanan, itu adalah cabaran yang selalu kita hadapi.
“Tapi kita sudah berikan dia rawatan yang terbaik. Dia bersedia untuk kembali ke gelanggang tanpa kesakitan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.
Tze Yong sebelum ini terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan dalam aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 menentang Singapura baru-baru ini.