Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal buat kejohanan yang berbaki pada tahun ini.
Tze Yong yang bergelut dengan kecederaan yang dialami olehnya ketika di Petronas Malaysia Open sekitar Januari lalu telah menjalani beberapa siri pembedahan sebelum ini.
Menurut Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Jasmiza Khuzairi, perkembangan positif ditunjukkan Tze Yong setelah pemeriksaan ulangan dilakukan sebelum ini.
”Di peringkat awalnya kita risau apa yang beliau alami itu berulang tapi kita dah ulang ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) baru-baru ini, kita dapati semua positif.”
”Sekarang apa yang beliau perlu lakukan adalah kekal fokus dan positif dalam perjalanan untuk kembali ke prestasi terbaiknya,” ujar Dr Jasmiza kepada Astro Arena.
Tambah beliau lagi, setelah perbincangan bersama pihak kejurulatihan, mereka setuju untuk tidak mahu tergesa-gesa membawa Tze Yong kembali beraksi di gelanggang.
”Pada asalnya kita jangkakan pada bulan Ogos, dia akan kembali ke gelanggang dan itu sudah berlaku sekarang,” tambah beliau lagi.
“Tapi apabila berbincang dengan jurulatih (Tey Seu Bock) dan atas persetujuan BAM, kita tak mahu tergesa-gesa untuk Tze Yong kembali selepas memikirkan beliau masih muda dan tak mahu kecederaan berulang.”
Beliau turut menjangkakan pemain kelahiran Johor ini akan kembali menjalani latihan intensiti tinggi pada penghujung tahun dan beri bayangan tiada kejohanan akan disertai Tze Yong untuk baki musim ini.
”Kita jangkakan dalam bulan November atau Disember baru boleh jurulatih berikan latihan intensiti yang tinggi dan kuat sebelum beliau boleh kembali ke kejohanan.”
”Saya boleh katakan mungkin tahun ini merupakan tahun pemulihan sepenunya buat Tze Yong,” ujar Dr Jasmiza di penghujung temu bual.
Musim ini, naib juara Arctic Open 2023 ini hanya sempat beraksi dalam 2 kejohanan sahaja iaitu ketika di Petronas Malaysia Open dan Badminton Asia Team Championship di Shah Alam Februari lalu.
Disebabkan kecederaan yang berpanjangan ini, Tze Yong terlepas beberapa kejohanan penting seperti Thomas Cup, Malaysia Masters malah hasrat untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris terus terkubur