Pengendali Selangor, Nidzam Jamil menilai perbezaan ketara membabitkan dua lawan di AFC Champions League 2 (ACL2) iaitu Muangthong United dan DH Cebu.
Selangor memulakan kempen ACL2 dengan turun berdepan Muangthong United di Bangkok dan The Red Giants berjaya mencuri satu mata setelah terikat 1-1 hasil jaringan Ronnie Fernandez.
Pada aksi kedua, Selangor merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu dengan jaringan tunggal Yohandry Orozco di awal permainan memastikan tiga mata milik tuan rumah.
Menurut Nidzam, setiap lawan yang dihadapi Gergasi Merah di pentas Asia setakat ini telah memberi masalah berbeza buat anak-anak buahnya.
”Pihak lawan yang kita hadapi adalah berbeza dan masalah yang diberi (pihak lawan) juga berlainan,” katanya ketika sesi sidang media selepas perlawanan bertemu DH Cebu.
Nidzam menilai kedua-dua lawan setakat ini mengamalkan corak permainan berbeza dengan Muangthong lebih bersifat terbuka manakala DH Cebu sebaliknya dan menunggu ruang untuk menyerang balas.
“Dengan Muangthong United, (permainan) mereka lebih terbuka dan dengan pasukan hari ini (DH Cebu) mereka lebih bersifat defensif,” ujar Nidzam lebih terperinci.
“Saya tak mempersoal (Cebu cuma) mereka lebih bersifat bertahan dan menunggu ruang (untuk menyerang balas),” tambah beliau lagi.
“Sementara kita juga pada masa yang sama cuba menyerang dan tidak dikenakan serang balas. Jadi barisan pertahanan kami perlu fokus dan lebih baik.”
Saingan ACL2 selepas ini menyaksikan Selangor bakal berdepan ujian getir dari jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai di Kelana Jaya pada 23 Oktober hadapan.