Ranking FIFA Malaysia: Skuad kebangsaan Malaysia kembali menghuni tangga ke-130 dunia, turun satu tangga selepas dipintas oleh Niger pada saat akhir.
Pasukan bimbingan Kim Pan-gon mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 yang amat cemerlang selepas merekodkan dua kemenangan berdepan Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya memperoleh tambahan +26.1 mata untuk merekodkan mata keseluruhan menjadi 1122.9 mata.
Malaysia pada awalnya naik 8 anak tangga dan menghuni kedudukan ke-129 dunia namun dipintas saat akhir oleh Niger.
Niger menang ketika berdepan pasukan ke-81 dunia, Zambia dengan keputusan 2-1.
Kemas kini masa-nyata FIFA ini juga menyebabkan Harimau Malaya terlepas peluang untuk kembali menghuni kelompok 120 terbaik dunia selepas kali terakhir melakukannya kira-kira 18 tahun lalu.
Skuad kebangsaan ketika ini menghampiri kedudukan Sudan (129 dunia), Niger (128 dunia) namun dipisahkan agak jauh dengan pasukan ke-127 dunia, Sierra Leone dengan 1138 mata.
Malaysia menjadi satu-satunya negara Asia Tenggara yang merekodkan kemenangan bersih dalam kempen Kelayakan Piala Dunia setakat dua perlawanan.
6 mata lagi daripada baki 4 perlawanan menjadi buruan skuad kebangsaan untuk mengesahkan slot ke pusingan ketiga sekaligus mencerahkan harapan untuk beraksi di Piala Dunia.