Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Nizaruddin Yusof melihat Malaysia mempunyai dua penjaga gol berbakat besar pada waktu ini.
Nama Syihan Hazmi dan Suhaimi Husin menjadi bualan ramai berdasarkan prestasi semasa mereka yang semakin menyerlah bersama pasukan masing-masing.
Syihan Hazmi ketika ini menjadi pilihan utama di JDT dan juga Kim Pan-gon untuk memegang peranan penjaga gol nombor 1 Harimau Malaya.
Suhaimi Husin juga mempamerkan aksi cemerlang menjaga gawang gol Terengganu musim ini terutama dalam saingan Piala AFC apabila beliau hanya dibolosi 6 kali dan melakukan 20 penyelamatan dalam 5 penampilan.
“Saya nampak setakat musim ini, prestasi Suhaimi Husin jauh meningkat dan ini dibuktikan melalui statistik beliau musim ini.” ujar Nizaruddin Yusof dalam rancangan Astro Arena.
“Jika nak dibandingkan beliau dengan Syihan, saya rasa mereka adalah dua penjaga gol terbaik di Malaysia ketika ini.”
“Musim ini Suhaimi diserang 71 kali berdasarkan statistik Liga Super dan dibolosi 20 gol. Jadi beliau miliki peratusan bolos 28%. Syihan pula diserang 35 kali dan dibolosi 7 kali dan mereka ini tidak jauh beza.”
Nizaruddin Yusof juga berpandangan kedua-dua pemain ini memiliki kelebihan yang tersendiri dalam aspek menjaga gawang gol.
“Kelebihan Suhaimi ialah dalam menangkap bola tinggi dan Syihan sedikit kurang dalam bahagian itu. Untuk saya, Suhaimi tahun ini antara penjaga gol terbaik Malaysia.” tambah beliau.
“Kita ada dua penjaga gol terbaik di Malaysia tahun ini untuk persediaan Piala Asia Januari ini. Jadi rasanya Kim Pan-gon tidak akan pening kepala kerana kemampuan dua pemain ini bermain dalam kesebelasan utama.” tambahnya.