Noor Al-Rawabdeh Kembali Beraksi Selepas 7 Bulan
MakanBola
Jordan FA

Penyokong Selangor FC dan Jordan gembira apabila pemain tengah, Noor Al-Rawabdeh kembali beraksi di atas padang.

Sebelum ini, pemain tengah berusia 28 tahun itu terpaksa berehat panjang. Ini selepas Noor mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dalam aksi menentang PDRM FC pada Oktober 2024.

Meskipun terpaksa berehat lama, beliau berazam untuk kembali cergas dan beraksi semula di atas padang.

“Saya kena berehat sembilan bulan, sudah tentu saya harap (tempohnya) kurang daripada itu.

“Insya Allah, saya akan mencuba yang terbaik. Dan saya janji akan kembali kurang daripada sembilan bulan, Insya Allah,” katanya.

Kini, Noor kembali beraksi apabila masuk sebagai pemain gantian dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara Jordan dan Oman.

Beliau masuk pada minit ke-73 menggantikan Ibrahim Sadeh. Meskipun hanya sempat beraksi selama 17 minit, itu sudah cukup untuk beliau membantu Al-Nashama layak ke Piala Dunia buat kali pertama.

Atas sebab itu, Noor merasa bersyukur kerana dapat membantu naib juara Piala Asia 2023 itu melakar sejarah ke Piala Dunia.

“Dalam satu detik, mimpi jadi realiti. Dalam satu saat, saya ingat semuanya: permulaan, kecederaan, detik-detik menghampakan dan semua kerja keras kita cukup bermakna.

“Layak ke Piala Dunia bukan saja satu pencapaian, ia merupakan satu janji yang kami buat demi negara kami dan kami berjaya merealisasikannya.

“Terima kasih kepada semua jiwa yang menyokong, semua suara yang menyokong dan menjadi denyutan jantung Jordan, kejayaan ini milik anda. Alhamdulillah,” katanya di Instagram.

Sebaik hantaran itu dimuat naik di ruang komen, ramai rakan pemain gembira melihat Noor kembali beraksi.

Antara yang berbuat demikian ialah pemain pertahanan Selangor, Mohammad Abualnadi dan penyerang Merah Kuning musim 2024/25, Ali Olwan.