Pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh berazam untuk kembali pulih lebih cepat daripada tempoh sembilan bulan yang dinyatakan.
Pemain tengah Jordan berusia 27 tahun itu terpaksa melupakan baki kempen musim 2024/25 selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Kecederaan itu dialami selepas aksi Liga Super menentang PDRM FC pada 19 Oktober lalu. Ini menjadikan aksi berkenaan sebagai aksi terakhir beliau bersama Selangor.
Meskipun mengakui terpaksa berehat lama, Noor tidak patah semangat dan melihat itu sebagai ujian Allah s.w.t. Dan ini mendorong beliau berazam untuk kembali bersama Merah Kuning lebih cepat daripada tempoh pemulihan yang dinyatakan.
“Pertama sekali, alhamdulillah atas segalanya. Saya fikir ini apa yang Tuhan mahu. Insya Allah, saya menerima (ujian ini). Saya kena berehat sembilan bulan, sudah tentu saya harap (tempohnya) kurang daripada itu.
“Insya Allah, saya akan mencuba yang terbaik. Dan saya janji akan kembali kurang daripada sembilan bulan, Insya Allah,” katanya kepada media selepas perlawanan Selangor-Jeonbuk Hyundai Motors.
Noor turut mengakui kecederaan ACL yang dialaminya ialah kecederaan paling teruk dialami dalam karier bola sepaknya. Pada masa sama, beliau percaya dengan sokongan Selangor, ini akan membantu pemulihannya.
“Sudah tentu, ini (kecederaan ACL) kecederaan yang paling teruk. Saya pernah alami banyak kecederaan tapi yang ini, ia cukup sukar untuk mana-mana pemain.
“Saya boleh kata alhamdulillah dan Insya Allah, saya akan kembali dengan sokongan pasukan yang kita ada. Mereka macam keluarga saya. Insya Allah, saya akan kembali,” ujarnya.
Sepanjang bersama Selangor, Noor telah merekodkan 43 penampilan, tujuh gol dan lima bantuan gol berdasarkan data Transfermarkt.
Sejak menyertai Merah Kuning pada 2023, beliau telah membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Super musim 2023 dan naib juara Piala FA 2024.