Impian Malaysia meraih kemenangan pertama terbantut setelah tumpas kepada Australia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan kejohanan jemputan NSDF Futsal Championship 2024.
Skuad negara turun dalam aksi terakhir kumpulan ini dengan misi memburu kemenangan pertama setelah mencatatkan satu kekalahan dan satu keputusan seri sebelum ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika Kejohanan Futsal AFF 2019 yang menyaksikan Autralia cemerlang menundukkan skuad negara 6-4.
Malaysia yang berada di ranking ke-76 dunia bermula baik dengan berjaya meyerap asakan bertali arus daripada pemain-pemain Australia sejak minit pertama permainan.
Namun begitu, skuad negara terlebih dahulu di depan pada minit ke-14 setelah Ridzwan Bakri memanfaatkan kesilapan pemain lawan untuk membolehkan Malaysia mendahului 1-0.
Dua minit kemudian, pemain muda negara, Syahir Iqbal Khan menambah duka pasukan Australia menerusi jaringan kedua pasukan Malaysia hasil rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Malaysia.
Bersambung babak kedua, Socceroos terus memperkemas permainan mereka bagi menembusi kubu gawang negara yang dikawal Syawal Sabaruddin.
Hasilnya, pada minit ke-29, gol yang dicari akhirnya menjelma selepas Harith Naim tertampan percubaan pemain Australia ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Austalia terus menggandakan usaha bagi menyamakan kedudukan dan usaha tersebut membuahkan hasil menerusi sepakan percuma Adam Cooper dari luar D pada minit ke-31.
Pasukan di ranking ke-36 dunia itu terus mengganas dengan dua gol pantas di hujung permainan menerusi Ethan De Melo dan Shervin Keshavarz sekaligus bangkit mendahului permainan 4-2.
Gol ketiga negara dijaringkan oleh ayam tambatan, Awalluddin Mat Nawi sebelum tamat permainan namun sudah terlambat untuk menyekat Australia dari mencapai kemenangan tipis.
Tamat aksi, Malaysia 3-4 Australia.
Keputusan ini menyaksikan skuad negara mengakiri saingan kumpulan di tangga keempat dengan satu mata selepas tiga perlawanan.
Selepas ini, pasukan negara dijadualkan beraksi dalam penentuan tempat ketiga menentang pada Khamis, 28 Mac dengan sepakmula akan dimaklumkan kemudian.