Dengan tetingkap perpindahan kedua bakal dibuka beberapa hari lagi, Kelantan FC perlu menyelesaikan isu sekatan perpindahan yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas mereka dengan segera. Ini selepas Nuha Marong menjadi awang import terbaru yang meninggalkan pasukan secara persetujuan bersama.
Pengumuman ini dibuat oleh The Red Warriors (TRW) dan Marong menerusi laman media sosial semalam. Kini, TRW mempunyai tiga awang import yang masih tinggal iaitu Leonardo Rolon, Kang Eui-chan dan Kim Min-gyu.
“TRW KELANTAN FC mengumumkan penamatan kontrak secara persetujuan bersama dengan Nuha Marong.
“Pihak kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan bakti yang telah diberikan oleh Nuha Marong. Selamat maju jaya, Nuha Marong,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Marong mengucapkan terima kasih kepada semua staf teknikal, pemain dan penyokong sepanjang bersama Kelantan FC. Beliau juga berharap semua masalah yang membelenggu skuad Kijang dapat diselesaikan agar pasukan itu dapat bangkit semula dalam Liga Super.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong TRW KELANTAN, staf teknikal dan terutama sekali para pemain untuk semua rasa kasih sayang yang diterima sejak dari hari pertama.
“Hari ini (semalam) saya menamatkan pengembaraan di mana saya tidak menjangkakan ia berakhir seperti ini. TRW KELANTAN akan sentiasa berada di hati saya.
“Saya harap semua masalah dalaman (pasukan) dapat diselesaikan demi para penyokong kelab. Selamat berjaya untuk baki kempen (Liga Super) musim ini,” katanya dalam satu catatan di Instagram.
Marong membuat lapan dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Bekas penyerang Castellon itu merekodkan dua gol dan satu bantuan gol dengan semuanya dicipta dalam saingan Piala FA.