Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu pasukannya mempelajari sebanyak mungkin perkara apabila berada di Indonesia nanti.
Sabah yang menggantikan tempat Hanoi FC telah dijemput menyertai kejohanan jemputan, RCTI Premium Sports ini dan diwakili oleh Datuk Ong Kim Swee ketika sesi sidang media yang berlangsung pada Rabu.
Menurut beliau, kejohanan ini pastinya bakal memberi satu impak kepada anak-anak buahnya memandangkan lawan-lawan yang bakal dihadapi kesemuanya dibarisi pemain-pemain berkualiti tinggi.
“Apabila tiba di kejohanan nanti, pasukan Sabah dan Selangor sudah beraksi dalam liga dan pastinya dengan dua perlawanan persahabatan bermutu tinggi dengan Persija dan juga Semarang, saya pasti ia akan memberi impak berlainan,” katanya kepada pihak media.
Beliau turut bersetuju dengan pendapat Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal mengenai perkembangan bola sepak di Indonesia dan berharap pasukannya dapat mempelajari sesuatu bagi menaikkan kualiti bola sepak kedua-dua negara.
“Seperti Dr Johan kata, kita cemburu apa yang Indonesia lakukan. Sudah pasti kita akan mencuba mempelajari dan dengan kejohanan ini, kita akan cuba meningkatkan mutu bola sepak Malaysia dan Indonesia,” tambah jurulatih berusia 54 tahun itu.
Ketika ditanya mengenai pasukan pencabar bagi kejohanan ini, Datuk Ong Kim Swee melihat semua pasukan memiliki kelebihan masing-masing namun tetap yakin dengan kemampuan para pemainnya untuk bersaing dalam aksi ini.
“Belum pasti (siapa pasukan pencabar). Kalau kita lihat dari segi persiapan, sudah tentu Persija dan Semarang melalui proses pra-musimnya. Pasukan Selangor sudah tentu sebagai pasukan pilihan dan mereka mempunyai ramai pemain berkualiti.”
“Tetapi pasukan Sabah ada Saddil Ramdani dari Indonesia bersama kita. Kita mampu untuk menyaingi setiap pasukan yang kita temui dalam kejohanan RCTI ini,” ujar bekas pengendali skuad bawah 23 tahun negara itu.
Kejohanan jemputan, RCTI Premium Sports ini bakal berlangsung daripada 30 Mei hingga 2 Jun dengan penyertaan dari dua kelab Malaysia yang diwakili oleh Selangor dan Sabah manakala Indonesia pula bakal menghantar Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Kesemua aksi bakal dijalankan di Jakarta International Stadium dan para penyokong yang tidak berpeluang ke sana boleh menonton perlawanan secara langsung di platform RCTI.