‘Orang Besi’ Australia, Brad Tapp Perkuat Benteng JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bek tengah Australia, Brad Tapp sah melengkapkan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perpindahan bekas bek tengah Central Coast Mariners (CCM) itu diumumkan pengurusan JDT menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Pemain pertahanan berusia 25 tahun, Brad Tapp berpindah dari Central Coast Mariners ke Harimau Selatan! Seperti kita, beliau juga memenangi Piala AFC. Dua juara kini bersama,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini sekaligus mengesahkan khabar angin bahawa beliau akan berhijrah ke Malaysia selepas tamat kempen A-League musim 2025/26.

Selain mampu beraksi sebagai bek tengah, Tapp juga boleh mengisi posisi di bahagian tengah sebagai pemain tengah bertahan jika perlu.

Selain pernah menjulang Piala AFC, beliau juga pernah merasai gelaran juara A-League Championship dan A-League Premiership musim 2023/24.

Tapp menjadi rekrut ketiga Harimau Selatan selepas penyerang Iran, Shahab Zahedi dan pemain tengah Slovenia, Dejan Petrovic.