‘Orang Besi’ Korea Selatan Bawa Haluan Ke Selangor
MakanBola
Gwangju FC

Bek tengah muda Korea Selatan, Kwak Sung-hoon menjadi pemain import terbaru memperkuatkan Selangor FC untuk kempen musim 2026/27.

Perpindahan bek tengah berusia 20 tahun itu disahkan pengurusan Selangor dalam satu kenyataan. Sung-hoon akan beraksi bersama Selangor II untuk kempen Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Beliau akan beraksi bersama seorang lagi pemain import dari Brazil, Pedro Ataide. Ataide, 21, menyertai skuad muda Selangor secara pinjaman dari kelab Cyprus, APOEL Nicosia.

“Dua pemain muda import, Pedro Ataide, 21, penyerang dari Brazil, dan Kwak Sung-hoon, 20, pemain pertahanan dari Republik Korea, turut dibawa masuk bagi menambah kekuatan pasukan dalam menghadapi saingan Liga A1 2026/27,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ramai penyokong telah menjangkakan kehadiran Sung-hoon sejak akhir Julai lalu. Hal ini ditambah dengan kelab pinjamannya, Gwangju FC mengucapkan selamat tinggal kepada beliau kerana kembali ke kelab asal, Suwon Samsung Bluewings.

Semakan di Transfermarkt menunjukkan Sung-hoon menyertai Selangor secara perpindahan percuma. Pengurusan kelab turut mengumumkan Muhammad Abu Khalil bakal menggalas tugas sebagai kapten Selangor II.

Selangor II yang dibimbing Arulchelvan Illenggo akan membuka kempen menentang UM-Damansara United pada Sabtu.